Bantuan: Tolong jangan tipu jadi miskin - Utusan Malaysia

Bantuan: Tolong jangan tipu jadi miskin

MOHD. Syahbuddin Hashim menyerahkan bantuan susu tepung kepada seorang ibu yang memerlukan di Pusat Khidmat ADUN Galas di Gua Musang, Kelantan, hari ini. Foto AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM) kesal dengan sikap segelintir individu berkemampuan tetapi mengaku diri miskin bagi mendapat bantuan  dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Peka GM, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pada PKP kali ini, semakin ramai yang memohon  untuk mendapatkan bantuan seperti beras dan susu tepung  pada setiap hari.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata, apabila disiasat latar belakang, pihaknya mendapati golongan yang berkemampuan turut memohon dan sanggup menipu fakta berkaitan diri serta keluarga.

“Kita memahami setiap rakyat terkesan dengan PKP  apabila punca pendapatan mereka terjejas.

“Namun, kita berharap mereka  jujur memberi maklumat kerana kita ingin membantu golongan yang betul-betul memerlukan bantuan,” katanyaketika ditemui di Pusat Khidmat ADUN Galas di sini hari ini.

Mohd. Syahbuddin berkata, Peka GM dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Galas akan terus komited membantu dan menyerahkan sumbangan bekalan makanan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Katanya, setakat semalam, sebanyak 350 bakul makanan diserahkan kepada penduduk yang didapati terputus bekalan makanan. 

“Gerak kerja tersusun dilakukan bagi membantu keluarga asnaf kerana kita tidak mahu terdapat satu keluarga pun yang berlapar khususnya dalam DUN Galas.

“Kita mengalu-alukan sumbangan penderma di seluruh negara untuk kita salurkan kepada golongan asnaf,” katanya.

Tambah Mohd. Syahbuddin, golongan dermawan yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan barangan secara terus kepada Pusat Khidmat ADUN Galas atau menerusi akaun Bank Islam, Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang, 03063010057562.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN