PUTRAJAYA: Sebanyak RM2 juta diperuntukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai bantuan bagi menyantuni sejumlah 4,000 mualaf di tiga wilayah berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, golongan asnaf itu akan menerima sumbangan tunai secara one-off RM500 seorang.
“Setiap daripada mereka juga layak menerima bantuan pek makanan bernilai RM100 yang disampaikan oleh pelbagai agensi agama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir memberi sumbangan daripada MAIWP dan pejabat menteri itu kepada seramai 12 saudara baharu kaum Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina esok.
Mereka terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal, pesara dan kakitangan awam yang disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh.
Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon; Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail serta pegawai Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Zulkifli berkata, semua agensi di bawah Jakim juga bekerjasama erat dalam usaha bagi menyantuni mualaf yang berdaftar di bawah Jawi agar mereka tidak rasa tersisih.
“Saudara baharu memang termasuk dalam salah satu golongan asnaf yang perlu dibantu, malah, sumbangan ini termasuk dalam Program Musa’adah Covid-19 dilancarkan tahun lalu.
“Usaha seperti ini kita kerap dari semasa ke semasa dalam pelbagai bentuk kepada pihak memerlukan dan akan selesai diagih secara berperingkat dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan siasatan ajaran Islam Melayu di Selangor, beliau berkata, Jakim akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.
Agensi tersebut turut meneliti dengan sebaik mungkin namun dalam masa terdekat bakal ada perbincangan serius antara Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri terbabit.
“Ini (isu agama) di bawah bidang kuasa negeri, itu kita kena hormati. Cuma bagi kita, kita akan ikut proses dalam mengenal pasti apa-apa isu terkait dengan ajaran tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE