Bahan mentah plastik hilang di Melaka, jumpa di Selangor - Utusan Malaysia

Bahan mentah plastik hilang di Melaka, jumpa di Selangor

DUA lelaki yang dicari polis bagi membantu siasatan kehilangan bahan mentah membuat plastik bernilai RM60,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bahan mentah membuat plastik bernilai RM60,000 yang dilaporkan hilang dalam kejadian pecah masuk sebuah kilang di Cheng, di sini pada 19 Januari lalu ditemukan di sebuah kilang di Puchong, Selangor.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, hasil siasatan dijalankan, empat suspek berusia 32 tahun hingga 37 tahun ditahan dalam dua serbuan di Perak serta Johor, masing-masing pada 23 serta 27 Januari lalu.

Katanya, susulan tangkapan itu, satu serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 di sebuah kilang di Puchong kira-kira pukul 1 petang, Isnin lalu.

“Hasil pemeriksaan di premis itu, polis menjumpai bahan mentah membuat plastik yang dilaporkan hilang dalam kejadian pecah masuk sebuah kilang di Cheng, pada 19 Januari lalu.

“Bagaimanapun, daripada 10 peket yang dilaporkan hilang, hanya dua peket ditemukan di premis itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis masih memburu dua lagi suspek dikenali sebagai Ramanan, 21, yang beralamat di Semenyih, Selangor dan D. Terencee Mark, 27, dari Simpang Ampat, Pulau Pinang.

“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek ini diminta menghubungi pegawai penyiasat jenayah Sarjan Mohd. Hanafi Md. Zam di talian 019-3646812,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya