Ayah, anak 'rakan subahat' edar dadah - Utusan Malaysia

Ayah, anak ‘rakan subahat’ edar dadah

SHEIK Azhar Sheik Omar (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Kelantan di Kota Bharu, petang ini. UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Siapa sangka pasangan bapa dan anak lelaki masing-masing berusia 60 tahun dan 18 tahun yang menjalani kehidupan mewah di Kampung Gual Ipoh, Tanah Merah adalah rakan subahat dalam sindiket pengedaran dadah.

Wajah sebenar dua beranak terbabit terbongkar selepas polis menjumpai tiga jenis dadah bernilai RM112,000 yang cuba disembunyikan di kawasan semak berhampiran rumah mereka dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 petang.

Susulan itu, polis menyita tiga kenderaan milik mereka termasuk sebuah kereta mewah BMW 630i serta tiga motosikal jenis Yamaha N Max 155, Yamaha Ego Avantiz dan Honda EX5 dengan nilai anggaran RM193,829.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komsioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, terdahulu di Kampung Che Dol, Tanah Merah, polis menahan tiga lelaki pada pukul 3.45 petang selepas didapati memiliki sejumlah 800 biji pil kuda.

Katanya, selepas soal siasat terhadap tiga suspek yang berusia antara 22 tahun hingga 28 tahun itu, mereka akhirnya mendedahkan mendapat bekalan daripada dua beranak tersebut.

“Polis segera menyerbu rumah dua beranak terbabit dan pemeriksaan di kawasan semak akhirnya membawa kepada penemuan sebanyak 5,000 biji pil kuda, 26 botol disyaki mengandungi heroin seberat 104 gram dan syabu seberat 100 gram.

“Siasatan mendapati, dua beranak itu dikatakan hidup mewah meskipun si bapa berusia 60 tahun hanya bekerja sebagai penjual besi buruk manakala anaknya pula seorang penganggur.

“Semua kenderaan dipercayai dibeli dengan hasil jualan dadah yang dilakukan mereka sejak beberapa bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini

Menurut Sheik Azhar, dua beranak itu masing-masing mempunyai satu rekod kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, siasatan terhadap tiga lelaki yang ditahan sebelum ini pula mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dengan masing-masing mempunyai satu hingga tujuh rekod kesalahan lampau.

Beliau memberitahu, polis turut merampas dua jenis motosikal jenis Honda EX 5 dan Yamaha Y150 bernilai RM10,000 yang dinaiki mereka sewaktu ditahan.

Tambahnya, kelima-lima suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya