Angin bentara punca tangkapan nelayan merosot - Utusan Malaysia

Angin bentara punca tangkapan nelayan merosot

SHAARI Rabu (kanan) dan rakannya, Sabri Yaacob menunjukkan hasil tangkapan anak ikan parang dan anak ikan tenggiri yang dijual sebanyak RM28 di Pantai Puteri, Melaka, semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebahagian besar nelayan di Pantai Puteri dekat sini, mengalami detik mengecewakan apabila sejak sebulan lalu hasil tangkapan mereka merosot teruk.

Ia ekoran cuaca tidak menentu terutama angin bentara yang cukup sinonim dalam kalangan mereka yang kini melanda perairan Selat Melaka.

Jika sebelum ini apabila turun ke laut, mereka mampu meraih pendapatan antara RM150 hingga RM300 sehari, namun keadaan itu tidak dapat dirasakan oleh nelayan dekat sini.

Kali ini, setiap kali melabuh jaring di perairan Selat Melaka, ada yang balik tangan kosong yang mana kalau ada pun hasil tangkapan, pendapatan hasil menjual ikan mereka hanya mampu meraih sekitar RM20 hingga RM40 sehari.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang nelayan, Shaari Rabu, 52, berkata, pendapatannya merosot hampir sebulan kerana keadaan cuaca tidak menentu dan angin bentara pula menyebabkan jaring sepanjang 700 meter yang dilabuh hanya menangkap antara tiga hingga lima kilogram ikan sehari.

“Awal pagi semalam, saya menarik jaring dan hasilnya saya menaikkan hanya anak ikan parang dan anak tenggiri. Hasil jualan RM28 sahaja. Bayangkan betapa seksanya mencari rezeki pada masa sekarang. Kelmarin, saya hanya meraih pendapatan sebanyak RM40 sahaja.

“Dua hari sebelum ini tidak ada hasil tangkapan. Saya balik tangan kosong, ikan apa pun tidak dapat ditangkap walaupun saya pasang dua jaring hanyut sepanjang 600 meter,” katanya.

Shaari berkata, walaupun pendapatan tidak seberapa namun dia tetap juga turun ke laut dan mengharapkan ada rezeki lebih untuk menanggung isteri dan lima anaknya.

Seorang lagi nelayan yang juga bekas pesara tentera, Abdul Zamzuri Abdullah, 51, berkata, hasil tangkapannya merosot teruk hingga menjejaskan pendapatan hariannya.

Menurutnya, tiupan angin bentara menyebabkan air laut sejuk menjadi punca hasil tangkapannya merosot sejak hampir sebulan lalu malah beberapa hari lalu dia balik tangan kosong.

“Semalam, hasil tangkapan saya sekadar meraih pendapatan sebanyak RM20. Musim ikan tidak banyak merata tempat saya melabuh jaring dan dapat hanya beberapa kilogram. Keadaan ini sudah berlarutan hampir sebulan,” ujarnya dengan nada kecewa.

Biarpun begitu, kata Abdul Zamzuri, dia tetap cekal dan tabah untuk terus turun menangkap ikan walaupun menyedari cuaca dan angin tidak memberi rezeki kepadanya untuk mendapat pendapatan yang lebih demi meneruskan kelangsungan hidupnya.

Dia yang bersara tentera sejak 2011 terus menjadikan nelayan sebagai mata pencariannya walaupun menyedari pendapatan ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

“Setiap kali turun ke laut, saya sentiasa berdoa semoga diberikan rezeki yang lebih. Semangat saya tidak pernah luntur kerana ini sahaja mata pencarian saya buat menanggung isteri dan anak-anak yang masih bersekolah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya