Anggota polis tak mengaku terima rasuah RM1,000 - Utusan Malaysia

Anggota polis tak mengaku terima rasuah RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM1,000 daripada wanita warga Thailand tahun lalu.

Ahmad Jefri Azizi Mohamad, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas didakwa memperoleh rasuah sebanyak RM1,000 diserahkan oleh Mohammad Salam Ibrahim.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap warga Thailand, Masiyaton Huseng yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana memiliki pas sempadan tamat tempoh.

Kesalahan terrsebut didakwa dilakukan tertuduh di Tasek Raja, Bandar Baru Pasir Mas kira-kira 12.40 tengah hari 1 Jun tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Nadia Mohd. Nordin.

Terdahulu, Nor Hamizah memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Nur Nadia bagaimanapun memohon ikat jamin sebanyak RM5,000 kerana anak guamnya perlu menanggung seorang isteri tidak bekerja dan dua anak yang masih bersekolah.

“Tertuduh bertugas sebagai anggota polis berpangkat koperal dengan pendapatan sebanyak RM2,900 sebulan selain perlu menjaga seorang ibu mertua yang uzur. Anak guam saya juga bersedia dikenakan sekatan ke luar daerah dan bekerjasama dengan SPRM, ” katanya.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Ikat jamin itu akan ditarik balik jika tertuduh melanggar salah satu syarat dan tarikh 31 Mac ini ditetapkan sebagai sebutan semula kes serta serahan dokumen. Tertuduh membayar jumlah ikat jamin ditetapkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya