Analisis makmal buktikan najis babi cemar Sungai Kereh - Utusan Malaysia

Analisis makmal buktikan najis babi cemar Sungai Kereh

ZIKRULLAH Ismail menunjukkan keadaan Sungai Kereh, Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang tercemar teruk dipercayai akibat pelepasan najis babi dari ladang penternakan di Kampung Selamat. - IHSAN LEKAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Kajian saintifik sebuah makmal bebas mendedahkan pencemaran Sungai Kereh yang berlarutan sejak 40 tahun lalu berpunca daripada pelepasan najis babi dari Kampung Selamat, di sini.

Analisis kualiti air di sungai itu dilakukan makmal bebas hasil inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas) dan Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh.

Pengerusi Lekas, Zikrullah Ismail berkata, kajian itu dijalankan di beberapa badan air di Kampung Selamat dan Sungai Kereh pada Disember lalu.

“Berdasarkan laporan analisis makmal, ada bukti saintifik untuk menyimpulkan punca utama pencemaran Sungai Kereh adalah daripada aktiviti penternakan babi di Kampung Selamat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, kewujudan bukti itu memperkukuh kenyataan yang dibuat Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh selama ini yang mendakwa pencemaran sungai tersebut berpunca daripada penternakan babi di kawasan Kampung Selamat.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, pihaknya menganggap pencemaran berkenaan sudah mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan.

“Pencemaran najis babi terus berlaku walaupun sudah ada desakan demi desakan dengan kerjasama NGO yang bersama kami.

“Kami ingin tegaskan badan ini akan terus membela penduduk kampung yang telah lebih 40 tahun berdepan dengan isu pencemaran ini sama ada membuat laporan polis atau dengan lebih serius ke pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Dalam pada itu, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, isu pencemaran itu akan dapat diselesaikan dengan pemantauan kualiti air sungai yang berterusan, pematuhan penternak bagi pelaksanaan sistem pelepasan sisa-sifar serta penguatkuasaan Enakmen Penternakan Babi (Negeri Pulau Pinang) 2016 dan Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya