KUALA TERENGGANU: Pas menolak dakwaan UMNO kononnya agihan kerusi membabitkan gabungan Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berkemungkinan menemukan jalan buntu.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terlalu awal untuk mana-mana pihak membuat kesimpulan demikian kerana proses itu masih berjalan dan belum selesai.
Bagaimanapun, beliau optimis perkara berkenaan dapat diselesaikan secara bijaksana dengan rakan sekutunya itu.
“Pada saya tidak buntu cuma belum selesai dan tiada penamat lagi. Kita baru dua kali bertemu jadi untuk mengatakan sudah jalan buntu, bagi saya terlalu awal kerana perjalanan kita masih panjang,” katanya kepada pemberita.
Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, perbincangan dengan rakan sekutunya di Terengganu mungkin sudah menemukan jalan buntu berikutan Pas menolak cadangan parti itu mengenai pengagihan kerusi.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri meminta kalangan kepemimpinan utama parti agar tidak cepat berputus asa, sebaliknya perlu sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi kemaslahatan ummah.
Sementara itu, katanya, Pas tetap menaruh harapan agar kerjasama Perikatan Nasional (PN) antara parti itu, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat diteruskan pada PRU-15.
“Kita masih berharap ketiga-tiga parti dapat bersama dan bekerjasama dalam PRU akan datang, saya rasa insya-Allah langkah sudah diambil oleh kepemimpinan Pas, UMNO dan Bersatu untuk turut mencari jalan,” katanya.
Ahad lalu, Utusan Malaysia melaporkan pendirian Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang sepakat menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15. – UTUSAN ONLINE