GEORGETOWN: Acara Makan Besar Keluarga sempena Tahun Baharu Cina malam ini disambut secara sederhana apabila ramai dalam kalangan masyarakat Tionghoa hanya menikmati upacara itu dengan pasangan terutama warga emas.
Ini berikutan rata-rata ahli keluarga terutama anak serta saudara-mara yang berada di negeri lain tidak dapat pulang susulan larangan rentas negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar perumahan di Bayan Baru dan Batu Lanchang dekat sini malam ini mendapati acara tahunan itu tetap diadakan walaupun dalam kumpulan kecil iaitu hanya melibatkan pasangan suami isteri.
Seorang penduduk yang mahu dikenali Sue Ann, 64, berkata, sambutan perayaan kali ini agak hambar dan tidak seperti tahun sebelum ini disebabkan lima anaknya tinggal di luar Pulau Pinang termasuk di Singapura.
Menurutnya, acara Makan Besar Keluarga kali ini disambut hanya berdua bersama suaminya di rumah mereka.
“Dalam sejarah hidup saya menyambut tanpa anak dan adik-beradik yang masing-masing berada di luar Pulau Pinang, suasana raya tak seperti dulu.
“Untuk malam ini, saya hanya menyediakan makan malam dalam kuantiti yang sikit dan mengagihkan kepada jiran-jiran terdekat. Kami akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengelak penularan Covid-19,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini malam ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan memberitahu, Ops Pemantauan SOP telah dijalankan melibatkan kira-kira 30 buah rumah di daerah tersebut hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemuanya mematuhi SOP yang ditetapkan bagi acara berkenaan.
“Sebanyak 17 pasukan yang dianggotai 10 pegawai dan 74 anggota terlibat dalam operasi yang akan diadakan sehingga 14 Februari ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pemantuhan SOP Tahun Baru Cina di perumahan Taman Hijau, Jelutong di sini. – UTUSAN ONLINE