PETALING JAYA: Sebanyak 9.323 individu termasuk 28 penjawat awam ditahan polis dengan dengan rampasan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM168.2 juta, bulan lalu.
Daripada jumlah itu, polis merampas dadah jenis Erimin 5 seberat 1,897 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM142.3 juta, diikuti 281 kg ganja (RM700,000) dan 209 kg syabu (RM7.5 juta).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, sebanyak 21,501 kg daun ketum dianggarkan bernilai RM220,000 berjaya dirampas bagi tempoh sama.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan melibatkan dadah seberat 27,623 kg dan 4,955 liter cecair bahan terlarang itu.
“Hasil risikan dan siasatan pihak JSJN, kita berjaya menumpaskan sebanyak 22 sindiket di seluruh negara.
“Tindakan sitaan harta sindiket dengan anggaran bernilai RM26.1 juta mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, kejayaan terbesar JSJN tahun ini apabila polis merampas 117kg serbuk Erimin 5; 3,202 kg serbuk ekstasi dan 26 kg cecair methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM201.8 juta di Johor Bahru pada 15 Januari lalu.
Katanya, rampasan itu adalah hasil pembongkaran stor bahan terlarang berkenaan susulan penahanan empat lelaki.
“Pada 11 Januari lalu, polis menangkap tiga lelaki dan seorang wanita di Taman Mount Austin, Johor Bahru, serta merampas 803.3 kg pil Erimin 5 dan 236 kg serbuk disyaki dadah dianggarkan bernilai RM73.2 juta.
“Pada lokasi dan tarikh sama, kita memberkas tiga lagi lelaki dan seorang perempuan serta merampas 210 kg serbuk disyaki dadah dianggarkan bernilai RM12.6 juta.
Tambah Razarudin, JSJN akan sentiasa proaktif menjalankan pemantauan sindiket pengedaran dadah supaya tindakan dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang.
“Selain itu, JSJN akan sentiasa menjalinkan hubungan kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan dadah antarabangsa bagi memastikan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah dibanteras habis-habisan,” katanya. – UTUSAN