PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mengumumkan penemuan gas dari telaga eksplorasi Dokong-1 dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Blok SK417, semalam.
Sumber gas bebas pencemaran di Dokong-1 itu ditemukan di perairan cetek Baram, kira-kira 90 kilometer dari pantai Sarawak.
Ini penemuan kedua di luar pantai Sarawak selepas Petronas mengesahkan penemuan gas dari telaga Lang Lebah-2 terletak di Wilayah Luconia Tengah, kira-kira 80 kilometer dari pesisir pantai negeri itu 10 Februari lalu.
Telaga Lang Lebah-2 dalam PSC Blok SK410B.
Menurut Petronas, telaga Dokong-1 berjaya digerudi hingga mencecah kedalaman 3,810 meter (12,500 kaki) pada pertengahan Januari 2021.
Penemuan tiang gas berukuran lebih 80 meter di takungan Middle to Late Miocene Cycle VI-VII mengesahkan potensi terdapat banyak lagi sumber gas di kawasan itu.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, firma itu dan pihak PSC sedang melakukan penilaian lebih lanjut berkaitan penemuan tersebut.
“Telaga eksplorasi Dokong-1 adalah satu daripada beberapa kejayaan dalam aktiviti penerokaan Malaysia baru-baru ini. Ini disokong melalui infrastruktur sedia ada sekali gus menyumbang ke arah aspirasi Petronas dalam menyediakan bekalan tenaga yang stabil dan bersih ke pasaran domestik dan global.
“Selain itu, penemuan Dokong-1 membuktikan keupayaan eksplorasi di wilayah tersebut serta memperkukuh peranan jaringan bekalan gas Baram sebagai sebahagian sistem minyak dan gas Sarawak yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.
Petronas sedang melakukan penilaian lebih lanjut untuk menentukan sejauh mana penemuan tersebut.
PTTEP HK Offshore Limited adalah pengendali blok tersebut dengan 80 peratus kepentingan, sementara bakinya dipegang unit Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, satu lagi anak syarikatnya, PC North Madura II Ltd. turut menemukan minyak di telaga ekplorasi Hidayah-1 dalam PSC syarikat itu di Jawa Timur, Indonesia.
Menurut Petronas, telaga itu digali pada Januari lalu dan selamat digerudi sehingga kedalaman 2,739 meter.
KU“Telaga itu menemui penumpukan karbonat mengandungi minyak dengan takungan berkualiti dalam formasi karbonat Ngimbang dan diuji pada kira-kira 2,100 BOPD dengan kualiti minyak mentah yang baik,” katanya. – UTUSAN