711,000 menganggur, apakah pindaan Seksyen 20 sudah berkuat kuasa? - Utusan Malaysia

711,000 menganggur, apakah pindaan Seksyen 20 sudah berkuat kuasa?

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia perlu memantau isu pemberhentian kerja secara teliti bagi memastikan tidak ada pekerja yang dizalimi oleh para majikan mereka dengan pembuangan tidak adil dan secara sewenang-wenangnya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kementerian boleh menguatkuasakan pindaan ke atas Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang berkaitan soal pemberhentian kerja bagi membela nasib pekerja.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentangkan Rang Undang-undang pindaan terhadap Akta Perhubungan Perusahaan 1967 berkaitan Seksyen 20 di Parlimen pada 2019 dan diluluskan Dewan Rakyat serta Dewan Negara bagi akta tersebut.

“Sebagai Ahli Parlimen yang turut membahaskan pindaan akta tersebut, saya ingin penjelasan sama ada pindaan ke atas Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan itu dikuatkuasakan atau tidak?

“Jika dikuatkuasakan, sejak bila? Jika tidak dikuatkuasakan, soalan saya ialah kenapa? Apa halangannya?,” soalnya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Akhbar melaporkan Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menyatakan bilangan penganggur Malaysia kini berjumlah 711,000 orang.

Daripada jumlah tersebut, tidak dipastikan berapa ramai terdiri daripada mereka yang diberhentikan kerja oleh majikan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Hassan berkata, pindaan akta tersebut yang diluluskan semasa Kerajaan PH memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk memutuskan sama ada kes-kes pemberhentian kerja itu perlu dirujuk ke Mahkamah Perusahaan atau sebaliknya.

Jelasnya, sebelum pindaan, kuasa itu adalah di bawah Menteri Sumber Manusia dan tujuan pindaan itu dibuat adalah mengatasi ‘backlog’ dan kelewatan dalam memutuskan kes-kes yang mohon dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.

“Amat kesal kerana Parlimen sekarang digantung. Jika tidak, perkara yang ada kepentingan kepada ratusan ribu pekerja yang diberhentikan sepanjang PKP ini akan saya bangkitkan dalam sidang Parlimen yang sepatutnya bersidang pada 8 Mac ini,” katanya.

Sebelum ini, pindaan kepada Akta Perhubungan Perusahaan 1967 diluluskan sebulat suara oleh Dewan Negara pada Disember 2019 bagi memastikan hak pekerja setara dengan piawaian antarabangsa dan mematuhi konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pindaan utama terhadap akta itu meliputi perwakilan bagi pembuangan kerja, rayuan terhadap pampasan Mahkamah Perusahaan ke Mahkamah Tinggi dan proses tuntutan pengiktirafan.

Selain itu, ia turut menyentuh mengenai hak berunding tunggal, membenarkan kesatuan sekerja membangkitkan secara umum isu berkaitan hak budi bicara majikan, rujukan pertikaian perusahaan ke Mahkamah Perusahaan, pengenaan faedah serta mengecilkan senarai perkhidmatan perlu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya