68 individu terlibat judi ‘online’ ditahan - Utusan Malaysia

68 individu terlibat judi ‘online’ ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjadikan kondiminum disewa dengan kadar bayaran bulanan antara RM2,000 hingga RM6,000 bagi tempoh satu hingga tiga bulan sebagai pusat operasi perjudian.

Itu modus operandi kumpulan perjudian dalam talian yang bergerak aktif di sekitar Dang Wangi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu hingga semalam.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket terbongkar selepas polis menahan 68 individu berusia antara 18 tahun hingga 45 tahun menerusi 12 serbuan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 16 individu warga tempatan termasuk seorang wanita dan 52 warga China.

Katanya, siasatan awal mendapati kegiatan tersebut dipercayai beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 11 malam mengikut syif.

“Hasil serbuan itu, kita merampas 39 komputer, 238 telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM81,539.

“Semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) akta sama dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal berkata, sebanyak 12 kertas siasatan dibuka dengan lima kes sudah dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan manakala tujuh lagi kes masih dalam siasatan.

Beliau memandang serius isu kegiatan judi dan mempergiatkan operasi untuk membanteras kegiatan perjudian haram terutamanya judi dalam talian.

“Kami memohon kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan judi dalam talian di sekitar daerah Dang Wangi.

“Orang awam boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) IPD Dang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya