PUTRAJAYA: Kerajaan menekankan empat agenda Kawasan Rukun Tetangga (KRT) melalui Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021 bagi memperkasa peranan KRT di peringkat akar umbi menerusi kerjasama semua pihak.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat agenda terbabit bertujuan meningkatkan keberkesanan inisiatif Rukun Tetangga.
Katanya, empat agenda itu adalah Kerja KRT Selamat, Kerja KRT Sihat, Kerja KRT Bersih dan Indah serta Agenda Kerja KRT Sejahtera.
“Agenda pertama akan digerakkan melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang berperanan untuk meronda dan mengawal mana-mana premis atau lokasi di Kawasan Rukun Tetangga dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kerja KRT Sihat adalah agenda yang memberi penekanan kepada usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam komuniti hasil kolaborasi bersama Kementerian Kesihatan melalui program di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa melancarka Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dan Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 di Facebook, Kementerian Perpaduan Negara.
Muhyiddin berkata, bagi Agenda Kerja KRT Bersih dan Indah menumpukan kepada program pembersihan dan pengindahan di kawasan komuniti dengan sokongan Kementerian Pembangunan Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah pelaksanaan Program Local Agenda 21.
Katanya, agenda terakhir adalah mengenal pasti kumpulan rentan seperti ibu tunggal, golongan kurang upaya, warga emas dan golongan kurang berkemampuan dan memberi bantuan melalui pelaksanaan inisiatif seperti Projek Ekonomi Rukun Tetangga serta Program Sayangi Komuniti.
“Peranan Rukun Tetangga perlu sentiasa didokong sebagai ejen dan penggerak usaha untuk menyatupadukan rakyat. Malah, saya difahamkan pada masa ini terdapat sebanyak 8,274 KRT dengan jumlah keahlian seramai 248,220 orang.
“Saya menyambut baik peningkatan penubuhan KRT ini kerana ia adalah petunjuk baik bahawa ia membuktikan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan peranan Rukun Tetangga,” katanya.
Perdana Menteri mahu semua rakyat Malaysia bersama-sama mengenal pasti keperluan komuniti dan menangani isu-isu sosial di kawasan setempat untuk melahirkan sebuah komuniti yang sejahtera.
“Marilah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam menjayakan usaha murni ini supaya negara kita dapat merealisasikan agenda perpaduan nasional,” katanya. – UTUSAN ONLINE