PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan perkembangan yang baik apabila merekodkan sebanyak 3,320 kes sembuh sekali gus mengatasi 2,364 kes positif.
Sebanyak 10 kematian dan lapan kluster direkodkan manakala kes aktif, yang mengalami penurunan kes sejak beberapa hari lalu, ia merekodkan sebanyak 27,028 kes berbanding semalam, 27,994 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 190 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 99 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selangor masih mengekalkan negeri tertinggi kes positif apabila merekodkan sebanyak 862 kes diikuti Johor, 314 kes; Perak, 305 kes; Sarawak, 255 kes; Sabah, 157 kes; Pulau Pinang, 155 kes dan Kuala Lumpur, 117 kes.
“Baki negeri lain pula, merekodkan kes dua angka manakala Pahang, lapan kes; Putrajaya, empat kes serta Labuan dan Perlis, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, kes kematian melibatkan enam kes di Kuala Lumpur, dua kes di Selangor manakala Johor dan Sarawak, masing-masing satu kes yang merekodkan lapan warga tempatan dan dua kes warga asing.
“Kes melibatkan enam lelaki termasuk seorang warga asing dan empat wanita termasuk seorang warga asing berusia 45 hingga 86 tahun.
“Dua warga asing tidak mempunyai latar belakang penyakit manakala lapan warga tempatan melibatkan darah tinggi, strok, dementia, dislipidemia, kencing manis, buah pinggang kronik, jantung, hati kronik dan paru-paru obstruktif kronik (COPD),” katanya.
Mengulas mengenai lapan kluster, beliau berkata, tujuh melibatkan tempat kerja dengan Johor merekodkan lima kluster manakala Kelantan dan Perak, satu kluster dan satu kluster komuniti di Sarawak.
Lima kluster di Johor iaitu Kluster Jalan Tampoi Besi di Johor Bahru, sebanyak 40 kes dari 136 individu serta Kluster Jalan Permas Sembilan di Johor Bahru, sebanyak 20 kes dari 32 individu dan Kluster Jalan Gemilang Satu di Johor Bahru, sebanyak 15 kes dari 44 individu.
Katanya, dua lagi adalah Kluster Jalan Mega Teknologi di Johor Bahru, sebanyak 14 kes dari 46 individu dan Kluster Jalan Scientex Jaya di Kulai, sebanyak 13 kes dari 119 individu.
“Kluster Jalan Tasek Avenue di Kinta, Perak, sebanyak 211 kes dari 524 individu dan Kluster Kampung Pulau Raja di Kota Bharu, Kelantan, sebanyak 60 kes dari 255 individu.
“Satu kluster komuniti pula, Kluster Buloh di Selangau, Sarawak, seramai 68 individu telah disaring dan sebanyak 28 kes telah dikesan positif,” katanya.