25 NGO bantah rancangan tambak laut di Padang Mat Sirat, Langkawi - Utusan Malaysia

25 NGO bantah rancangan tambak laut di Padang Mat Sirat, Langkawi

R. MEENAKSHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebanyak 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negeri ini, Kedah dan Selangor membantah permohonan dikemukakan sebuah syarikat swasta bagi projek tambak laut seluas 800 hektar dalam rancangan pembangunan di Padang Matsirat iaitu di kawasan ‘Break-Water’, Kedah.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), R. Meenakshi berkata, sebarang permohonan tanah berkaitan projek penambakan laut tidak boleh dibenarkan kerana bersifat pramatang dan belum melalui proses undang-undang yang diperuntukkan.

Tegasnya, sebarang projek penambakan laut juga wajib mendapatkan nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) bawah Seksyen 20B Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Katanya, untuk memperoleh nasihat MPFN itu, cadangan pembangunan, laporan penilaian kesan sosial dan lain-lain laporan wajib perlu disediakan terlebih dahulu.

“Laporan-laporan itu harus merangkumi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling Jadual Kedua yang mana penglibatan orang awam dan kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) diperlukan.

“Undang-undang itu wajib dipatuhi dan penglibatan awam perlu dilakukan kerana projek penambakan laut dengan keluasan yang besar tentunya memberi dampak negatif yang ketara kepada alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melaporkan, negeri itu bakal menerima pelaburan domestik dalam sektor pembangunan hartanah eksklusif membabitkan jumlah RM40 bilion dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang daripada syarikat milik penuh bumiputera iaitu Widad Business Group Sdn Bhd (Widad Business Group).

Jelas Muhammad Sanusi, projek yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka itu membabitkan pembangunan komersial berskala besar di Lot 978, Seksyen 4, Bandar Padang Mat Sirat, Pulau Langkawi dengan 90 peratus daripadanya adalah lautan.

Meenakshi berkata, projek tersebut juga perlu mengambil kira pelbagai isu termasuk perubahan iklim, kesan-kesan ke atas ekosistem marin, sektor perikanan dan kesan-kesan sosioekonomi yang dihadapi oleh nelayan-nelayan pantai di Pulau Langkawi dan kawasan sekitarnya.

Katanya, kesan buruk kepada ekonomi dan kewangan negeri Kedah juga harus diberi perhatian terutama industri pelancongan yang sedang mengalami kemerosotan teruk akibat pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, ujarnya, adalah mustahak sebelum projek itu diteruskan analisis faedah dan kos yang terperinci dan proses ulasan orang awam wajib dilaksanakan terlebih dahulu.

“Ini menyelamatkan kerajaan negeri daripada mengambil sebarang keputusan yang memudaratkan ekonomi, kewangan dan alam sekitar negeri Kedah.

“Tambahan, kita mesti mengambil iktibar daripada projek-projek penambakan laut besar-besaran yang gagal di negara-negara lain seperti di Asia Barat.

Ujar beliau, sekiranya permohonan menambak laut itu dibenarkan tanpa pematuhan proses undang-undang dan penglibatan orang awam, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai satu penyalahgunaan kuasa dan salah di sisi undang-undang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya