GUA MUSANG: Dua buah premis di Kawasan Industri Gua Musang, di sini disita selepas dipercayai menyimpan 3,926 liter minyak diesel secara haram dianggarkan bernilai RM9,029, hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Gua Musang, Tuan Mohd. Koma Shapii berkata, serbuan dilakukan di dua premis itu kira-kira pukul 12.25 tengah hari hingga 1 petang ini.
Katanya, kedua-dua premis dikesan menyimpan dan memiliki barang kawalan iaitu diesel tanpa kebenaran pengawal bekalan.
“Berdasarkan siasatan, premis-premis itu didapati menjalankan kegiatan tersebut sejak setahun lalu. Bekalan bahan bakar itu dipercayai untuk kegunaan sektor perkayuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Tuan Mohd. Koma, pemilik kedua-dua premis boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
“KPDNHEP sentiasa memantau kegiatan penyimpanan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran pengawal bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyalahgunaan barangan bersubsidi,” katanya. – UTUSAN ONLINE