PASIR PUTEH: Hampir 200 pembeli rumah membabitkan anggota dan pesara tentera serta kakitangan awam di Taman Jaza Seri Pasu di sini mendakwa mereka dianiayai sebuah syarikat perumahan yang tidak menyiapkan projek tersebut sejak 15 tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Taman Jaza Seri Pasu, Mohd. Solahuddin Mohamad berkata, potongan bulanan pembeli antara RM400 hingga RM1,000 masih diteruskan sedangkan kediaman dijanjikan siap pada 2008 sehingga sekarang tidak boleh didiami.
Menurut beliau, walaupun terbeban dengan kenaikan harga bahan binaan ketika ini, dia dan beberapa pembeli nekad menyiapkan sendiri rumah itu selepas tiada perkembangan positif untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya bersara pada 2014 dan kini masih dipotong RM615 sebulan selain terpaksa membayar rumah sewa RM450 sebulan. Hanya RM500 daripada pencen dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
“Setelah 15 tahun menunggu, kami sudah tidak ada pilihan kecuali mengambil langkah menyiapkan sendiri rumah itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mohd. Solahuddin berkata, sebahagian pembeli lain pula terpaksa ‘berputih mata’ apabila rumah dijanjikan belum ada, kecuali sebidang tapak kosong yang ditumbuhi semak dan sebahagian lagi hanya terdapat cerucuk tiang.
Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) seharusnya mengambil cakna membantu pembeli terutama pesara tentera yang kembali ke kampung halaman dan memerlukan kediaman.
Seorang lagi pembeli, Amran Awang, 41 berkata, dia berjaya mendiami rumah yang sebelum ini terbengkalai selepas mengeluarkan modal RM50,000 untuk menyiapkan bahagian rumah yang terbengkalai.
“Saya terpaksa menyelesaikan satu persatu masalah bagi membolehkan saya dan keluarga mendiami rumah tersebut secara sah. Lebih teruk, beberapa bahagian terutama besi telah dicuri dan saya terpaksa menggantikan dengan wang sendiri,” ujarnya.
Seorang lagi pembeli, Mohd. Suhairi Mohd. Zainal Abidin, 34, berkata, dia bercadang mengunakan wang simpanan RM20,000 untuk menyiapkan rumah teres dibelinya dengan harga lebih RM60,000 itu.
“Saya sudah lunaskan bayaran menerusi sistem potongan gaji berjumlah RM40,000,” katanya yang menamatkan perkhidmatan tentera tanpa pencen kerana berkhidmat 15 tahun sahaja.
Difahamkan, selain pesara tentera sebahagian lagi pembeli rumah di kawasan itu adalah anggota polis dan guru yang turut menerima nasib sama.- UTUSAN