PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan memperkenalkan skim Residensi Prihatin bagi membantu golongan berpendapatan rendah B40 memiliki rumah sendiri di sekitar Putrajaya.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha itu antara program pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan sejajar inisiatif Inisiatif Wilayah Prihatin.
“Ini sentiasa menjadi agenda utama kementerian dalam usaha memperkukuh jaringan keselamatan rakyat untuk ada rumah selesa, selamat, sihat dan sejahtera,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Annuar, kementerian itu dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya membangunkan 12,253 unit Residensi Prihatin berkeluasan 750 kaki persegi melibatkan 10 tapak projek di lokasi strategik.
Katanya, projek itu sedang dalam peringkat perancangan membabitkan kawasan di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19 dengan pembinaan keseluruhan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
Daripada jumlah itu, kata beliau, sebanyak 1,592 unit Residensi Prihatin Kenangan dan Melur dijual pada harga RM200,000 iaitu lebih rendah daripada harga pasaran, tidak termasuk kos nilai tanah.
“Dua kawasan ini dibangunkan syarikat pemaju tempatan, Tetuan Protasco Development Sdn. Bhd. yang menandatangani perjanjian pembangunan pada hari ini,” katanya.
Kata beliau, bagi memastikan kumpulan sasar yang tepat beroleh manfaat, tumpuan diberi penekanan kepada para pemohon rumah pertama dan belum memiliki rumah sendiri.
Jelasnya, keutamaan turut diberikan kepada penjawat awam dan golongan pembeli terdiri daripada kumpulan keluarga berusia muda berpendapatan kasar tidak lebih RM5,000 sebulan.
Di samping itu, penetapan syarat minimum 60 peratus daripada jumlah unit diperuntukan untuk kuota bumiputera bagi mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan B40 tersebut.
“Pembangunan projek skim ini juga meliputi kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, gelanggang badminton dan taman permainan kanak-kanak,” kata beliau.
Mereka yang berminat mestilah lahir, menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan dan boleh membuat pendaftaran secara atas talian melalui portal https://residensiprihatin.kwp.gov.my.
Tambahnya, keutamaan diberikan kepada belia yang sudah berkahwin dan segala dokumen diperlukan oleh pihak urus setia dimaklumkan terus kepada pemohon terbabit melalui emel.
“Kementerian berhara, pelaksanaan program di bawah Cakna Perumahan ini dapat mengatasi isu kesukaran pemilikan rumah di Wilayah Persekutuan terutama bagi golongan muda,” katanya. – UTUSAN ONLINE