Yu paus 1.5 tan ditemukan mati dalam keadaan sirip dipotong - Utusan Malaysia

Yu paus 1.5 tan ditemukan mati dalam keadaan sirip dipotong

BANGKAI ikan yu paus ditemukan mati tersangkut pada pokok bakau di Jeti Damar Laut, Segari Lumut semalam. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seekor ikan yu paus berusia lima tahun ditemukan mati, di sini disyaki akibat perbuatan khianat berikutan bangkainya dijumpai terapung dengan keadaan sirip kanannya dipotong.

Bangkai ikan spesies jantan berukuran 5.7 meter panjang dan berat 1.5 tan metrik itu ditemukan tersangkut pada pokok bakau di Jeti Damar Laut, Segari, dekat sini pada pukul 6.30 petang semalam.

Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd. Tamimi Ali Ahmad berkata, sebelum itu pejabat Jabatan Perikanan di sini menerima maklumat nelayan mengenai penemuan bangkai ikan tersebut di perairan Pulau Pangkor, pada pukul 3 petang kelmarin.

“Berikutan itu, anggota Cawangan Perlindungan Sumber Pejabat Perikanan Negeri (PPN) di Kampung Acheh melakukan pencarian selama dua hari sebelum menemukannnya petang semalam dan ditunda ke PPN di sini,” katanya dalam sidang akhbar di PPN Kampung Acheh, di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan bangkai ikan itu, dipercayai ia sudah mati pada Khamis lalu, dengan bedah siasat menemukan beberapa jenis sampah seperti plastik dan ranting kayu serta air laut dengan isi padu sebanyak 10 gelen dalam kantung perutnya.

Menurut beliau, ikan dengan nama saintifik itu rhincodon typus itu dipercayai hidup di sekitar gugusan Pulau Sembilan yang mempunyai banyak sumber makanan ikan berkenaan seperti ikan kecil khususnya ikan bilis, plankton dan udang geragau.

“Ikan ini jarang ditemukan mati di perairan Perak kerana berdasarkan kes-kes lepas kebiasaannya dijumpai hidup,” katanya.

Mohd. Tamimi tidak menolak kemungkinan ikan itu ditangkap pihak tidak bertanggungjawab lalu memotong sirip di bahagian pektoral kanan sebelum dilepaskan semula ke laut yang mengakibatkan kematiannya.

Beliau bagaimanapun berkata, punca sebenar kematian ikan itu masih disiasat.

Katanya, jika benar angkara pihak tidak bertanggungjawab, mereka boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 (Pindaan) 2019 Akta Perikanan 1985.

Katanya, masih ada pihak yang menganggap sirip ikan itu sebagai makanan eksotik dengan sup sirip ikan yu paus dijual pada harga antara RM100 hingga RM1,000 semangkuk.

Beliau percaya spesies ikan itu tidak banyak di perairan Pulau Sembilan iaitu antara dua hingga tiga ekor sahaja dan spesies ikan itu biasanya berhijrah ke lokasi lain jika menemui sumber makanan.

Spesies yu paus boleh membesar 12 hingga 18 meter panjang, berat mencapai 13 tan metrik dan jangka hayat sehingga 30 tahun.

Menurut beliau, berdasarkan rekod diterima pihaknya daripada 2000 hingga awal tahun ini, sebanyak 36 kes spesies ikan itu terdampar di pantai negara ini dicatatkan, ditemui sama ada masih hidup atau mati akibat semulajadi atau kemalangan seperti berlanggar dengan kapal. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya