Wujudkan undang-undang lindungi hak privasi data pengguna - PM - Utusan Malaysia

Wujudkan undang-undang lindungi hak privasi data pengguna – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Negara-negara anggota ASEAN perlu mempertimbang perundangan berkaitan hak privasi data pengguna yang dapat diterapkan pada setiap entiti digital di rantau ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, platform digital perlu menanggung tanggungjawab lebih besar dan membolehkan mereka dikenakan tindakan selagi mana boleh mengawal setiap produknya.

Pada masa sama, kata Perdana Menteri, ASEAN juga boleh mempertimbang perundangan lebih ketat berkaitan ucapan berbentuk kebencian kerana platform digital dilihat ‘menghapuskan’ hukuman bagi setiap ucapan yang sengaja mendorong kepada serangan dan keganasan.

Katanya, ini termasuk pengucapan secara lisan atau fizikal selain berbentuk ancaman terhadap seseorang berdasarkan bangsa, jantina, agama, orientasi seksual, kecacatan atau kewarganegaraan.

“Saya percaya ada bidang di bawah undang-undang yang perlu ditinjau untuk menampung keperluan teknologi dan cabaran baharu terutama dalam parameter keamanan di dunia maya.

“Teknologi berkembang pesat dan begitu juga dengan munculnya ancaman siber baharu. Akibatnya, harus ada mekanisme untuk memungkinkan undang-undang yang ada diterapkan di dunia maya dan undang-undang baharu yang perlu diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan secara persidangn video, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, ASEAN juga boleh mempertimbang penubuhan sebuah dana demi menambah baik infrastruktur digital dan Internet di negara-negara anggota.

Kata Perdana Menteri, sebuah platform dalam talian boleh diwujudkan untuk menghubungkan perniagaan kecil dan sederhana serta artisan di seluruh rantau ini bagi menjual barangan asli secara langsung kepada pengguna sekali gus memudahkan transaksi perniagaan.

“Sebuah lembaga pemegang amanah dengan anggotanya dilantik dari negara-negara ASEAN boleh menentukan syarikat yang akan mewujudkan, menyelenggara dan mengoperasikan platform tersebut.

“Sebagai satu komuniti dan sebagai sebuah rantau, ASEAN kini lebih penting berbanding sebelum ini. Bagi generasi yang tidak terkira jumlahnya, kita, warga Asia Tenggara telah berdagang dan bekerja dengan China dan Jepun, serta Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Muhyiddin berkata, negara-negara berkenaan adalah ekonomi terbesar dunia dan paling maju dan canggih dalam era digital walaupun mungkin wujud perbezaan dan ketegangan di seluruh Asia Pasifik di antara AS dengan China.

“Menerusi pendekatan tersebut, kita berpeluang memperoleh manfaat dari setiap negara ini. Pada masa sama, kita turut berharap mereka boleh bekerjasama dengan lebih baik,,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, berlandaskan jalinan menerusi ASEAN+3, ASEAN boleh menggalakkan kerjasama digital dan mendorong pelaburan teknologi maklumat dan komunikasi dari China, Jepun dan Korea Selatan.

“Kita sewajarnya memanfaatkan aspek-aspek khusus ASEAN ini secara strategik menyediakan peluang sebaik mungkin kepada rakyat, terutama untuk masa depan dan generasi muda ASEAN,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya