PETALING JAYA: Selepas enam hari dilaporkan hilang, seorang warga emas ditemukan maut dibunuh sebelum mayatnya disembunyikan dalam but sebuah kereta di Taman Wawasan, dekat Puchong di sini.
Mayat mangsa lelaki berusia 70 tahun itu, ditemukan dalam but kereta berkenaan di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, warga emas itu dilaporkan hilang sejak 31 Disember lalu.
Beliau berkata, dua laporan polis dibuat berhubung kehilangan warga emas itu pada Jumaat dan Sabtu lalu di Balai Polis Ara Damansara.
“Keluarganya memaklumkan kepada polis bahawa kad kredit milik mangsa digunakan suspek. Hasil siasatan, kita dapati kad kredit mangsa digunakan di sebuah kedai serbaneka di Kuala Klawang, Negeri Sembilan.
“Kita kemudian mengesan dan menangkap suspek seorang lelaki berusia 40 tahun di sebuah lokasi di Kuala Klawang pada hari sama laporan kedua diterima,” katanya kepada di sini semalam.
Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, suspek yang ditahan adalah seorang ahli perniagaan yang juga pemilik sebuah bengkel kereta.
Menurutnya, selepas beberapa hari disoal siasat, suspek akhirnya menunjukkan lokasi kereta yang dipandu mangsa pada hari dia dilaporkan hilang sebelum menemukan mayatnya di dalam but kenderaan itu.
“Mayat mangsa dijumpai di dalam but sebuah kereta Volvo berwarna hijau yang juga milik seorang pelanggan suspek.
“Kita percaya mangsa dibunuh pada 31 Disember lalu berdasarkan soal siasat ke atas suspek serta keadaan mayat yang sudah mereput,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian berpunca daripada persengketaan berhubung isu jual beli tayar dianggarkan bernilai RM1,100.
“Bagi mengumpil but kereta tersebut, pihak kita terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengeluarkan mangsa.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE