Warga emas antara 15 mangsa dipindahkan di Endau - Utusan Malaysia

Warga emas antara 15 mangsa dipindahkan di Endau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seramai 15 penduduk termasuk dua warga emas di Kampung Sungai Padang, Endau di sini dipindahkan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau setelah kampung itu mulai dinaiki air hari ini.

Ketua Operasinya, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Alias Hussin berkata, pihaknya menyelamatkan pasangan suami isteri berusia 70-an bersama seorang cucunya menggunakan bot fiber pada pukul 11.18 pagi tadi.

Katanya, hujan lebat tanpa henti sejak awal pagi tadi menyebabkan paras air banjir semakin tinggi sehingga ke paras pinggang.

“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan banjir daripada penduduk kampung memaklumkan paras air sudah naik. Kita sentiasa memantau keadaan banjir di kawasan berisiko.

“Susulan itu, enam anggota yang menaiki satu jentera Light Fire Rescue Team (LFRT) dan satu utiliti Kembara bergerak ke lokasi bagi membantu mangsa yang terperangkap selain bot fiber milik orang awam ke kawasan yang selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi berkenaan turut disertai oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti dan Sosial, Hussain Moh serta sepasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohd. Alias yang juga Ketua BBP Endau memberitahu, dalam operasi yang sama, pihaknya turut menyelamatkan lima ekor kucing peliharaan mangsa banjir di kampung tersebut.

Katanya, kampung terbabit sudah dinaiki air ke paras betis pada Isnin lalu, namun penduduk belum mahu berpindah kerana air banjir tidak naik ke kawasan rumah.

“Kesemua 15 mangsa ini daripada lima keluarga itu dipindahkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Endau yang dibuka pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Pecahan mangsa banjir di PPS yang baharu dibuka itu terdiri daripada empat warga emas, 10 orang dewasa dan seorang kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya