Wanita mengaku tak bersalah palsukan dokumen - Utusan Malaysia

Wanita mengaku tak bersalah palsukan dokumen

NOOR Marliza Ishak (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen lima tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas Ketua Bahagian Sumber Manusia Puspakom Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan iaitu memalsukan dokumen bernilai RM52,500, lima tahun lalu.

Noor Marliza Ishak, 48, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rihaida Rafie selepas pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Noor Marliza didakwa memalsukan dokumen iaitu invois Kezens Gale bernilai RM52,500 dengan tujuan menipu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan pilihan pula, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 465 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Puspakom , Wisma DRB Hicom, Seksyen U1 pada 24 Jun 2016.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Woi Keong menawarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon ikat jamin terhadapnya dikurangkan berikutan tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk membayarnya.

Hakim Rihaida membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Januari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN