Wanita Medan bertemu keluarga setelah hilang 20 tahun - Utusan Malaysia

Wanita Medan bertemu keluarga setelah hilang 20 tahun

SUSANTI (dua dari kiri) bersama anak-anaknya semasa di KLIA2 sebelum berlepas ke Medan, Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang wanita warga Indonesia berusia 33 tahun yang dilarikan ke negara ini semasa remaja dibawa pulang ke negara asalnya Khamis lalu oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan kembali ke pangkuan keluarganya.

Wanita itu yang dikenali dengan nama Susanti  bersama lima anaknya menerusi dua perkahwinan dihantar ke Medan, Indonesia dengan bantuan Kedutaan Indonesia.

Yang Dipertua ABIM Bandaraya Ipoh, Mohd. Nabil Majdi Arip berkata, Susanti yang mempunyai masalah lembam dipercayai diculik sewaktu berusia 13 tahun daripada keluarganya di  Medan.

Katanya, wanita itu kemudian dipercayai diseludup melalui jalan laut dan dijual kepada sindiket pelacuran di Malaysia tetapi dapat melarikan diri sebelum hidup sebagai gelandangan.

“Susanti  berkahwin dua kali iaitu semasa di Kuala Lumpur dan Lumut. Dia mendakwa sering didera lalu melarikan diri ke Ipoh semasa ketiadaan suami.

“Mereka sekadar makan dari ihsan orang ramai sehingga Susanti dan anak-anaknya diselamatkan ABIM Perak dan ditempatkan di rumah perlindungan.

“Di situ baru kita tahu kisah sebenar Susanti lalu berhubung dengan Yayasan Kelompok Kerja Sosial Perkotaan iaitu sebuah badan sosial di Medan untuk menjejaki keluarga Susanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nabil, proses penghantaran pulang Susanti tidak mudah kerana kesnya telah lama berlaku selain tiada dokumen pengenalan diri.

Katanya, usaha mengesan keluarganya juga gagal kerana alamat rumah yang diberi tidak wujud disebabkan rumah keluarga Susanti telah dirobohkan selepas kematian ibu bapanya beberapa tahun lalu. 

“Namun nasib menyebelahi Susanti apabila kita berjaya menemukan Facebook kakaknya yang kebetulan pernah memuat naik hantaran dan  gambar sewaktu Susanti kecil beberapa bulan lepas.

“Setelah itu segalanya dipermudahkan. Dengan bantuan Kedutaan Indonesia di Malaysia, pasport dan dokumen pengenalan diri Susanti dan anak-anak siap dalam tempoh seminggu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya