TANJONG KARANG: UMNO Selangor tidak menyebut tentang menolak kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebaliknya hanya membincangkan untuk memperkukuh Muafakat Nasional (MN).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, dalam usul tiada khusus disebut tentang menolak Bersatu tetapi memberi penekanan perkukuh MN.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang berkata, penting untuk MN diperkukuh bagi mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru.
“Semangat MN ini bermula di Selangor yang mana ketika itu belum lagi ada perjanjian rasmi tetapi telah ada persefahaman antara UMNO dan Pas seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Pas tidak meletakkan calon.
“Persefahaman ini berterusan di PRK Seri Setia dan Semenyih. Sekiranya dalam perbahasan mereka hendak menambah untuk menolak Bersatu, terpulang tetapi perkara utama adalah memperkukuh kerjasama antara UMNO dan Pas,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, ia melibatkan dua proses iaitu peringkat negeri dan Pusat.
“Setakat ini, di negeri telah dianggap selesai setelah perbincangan dilakukan bersama Pas. Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada Pusat,” ujarnya.
Berhubung MN yang berdepan dengan masalah pendaftaran berikutan terdapat pihak lain yang menggunakannya, beliau menjelaskan, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pucuk kepemimpinan.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut berhubung perkara tersebut dan serahkan sepenuhnya kepada UMNO pusat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE