PUTRAJAYA: Penyakit diabetes bukan hanya memberi kesan negatif kepada penghidapnya malah mampu menjejaskan ekonomi individu berkenaan, keluarga, masyarakat dan produktiviti negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pengawalan diabetes dan pengurangan komplikasi berkaitan penyakit itu sangat penting bagi mengelak impak negatif berkenaan.
“Beberapa pendekatan menyeluruh boleh dilaksanakan termasuk pembabitan aktif pesakit, sokongan pendidikan diabetes bersesuaian, perubahan gaya hidup dan rawatan farmakologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Panduan Amalan Klinikal (CPG) Baharu yang merangkumi kemajuan perubatan terkini dalam Pengurusan Diabetes Mellitus Jenis 2 (T2DM) menerusi aplikasi Zoom, hari ini.
CPG berkenaan dihasilkan dengan kerjasama 69 pakar perubatan di bawah naungan Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Kementerian Kesihatan, Akademi Perubatan Malaysia, Diabetes Malaysia, dan Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia.
Sementara itu, Noor Hisham memuji CPG berkenaan kerana ia sumber berharga bagi ahli profesional kesihatan dalam memberi penjagaan terbaik kepada pesakit, bermula dari pencegahan sehingga rawatan komplikasi.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pengerusi, Ttmbalan dan ahli jawatan kuasa pembangunan CPG dalam penghasilan CPG tersebut walaupun mengalami kesukaran semasa pandemik Covid-19.
Beliau akan memberi sokongan sepenuhnya kepada rancangan menjalankan aktiviti latihan bagi membantu ahli profesional kesihatan menerapkan CPG untuk meningkatkan rawatan dan penjagaan diabetes di negara ini.
Pada masa sama, katanya, ahli profesional kesihatan perlu menggunakan teknologi dan inovasi, serta menyedari potensi penggunaan aplikasi telefon mudah alih, lain-lain kemajuan teknologi, dan teleperubatan dalam memperbaiki pengurusan diri diabetes.
Sementara itu, Presiden MEMS, Prof. Dr. Chan Siew Pheng yang juga Pengerusi Jawatan kuasa Pembangunan CPG berkata, CPG terbaharu itu bakal memberi harapan kepada penghidap penyakit kronik.
“CPG ini menerapkan amalan pembangunan dalam inovasi perubatan, teknologi dan pembaharuan pendekatan dalam intervensi gaya hidup.
“Kajian terbaharu menunjukkan bahawa penurunan berat badan sebanyak tujuh hingga 10 peratus melalui pemakanan dan gaya hidup sihat dapat mengelakkan individu yang berada dalam kategori pradiabetes daripada menjadi diabetes.
“Tambahan, individu yang didiagnosis mengalami T2DM kurang dari tiga tahun boleh menterbalikkan penyakit diabetes mereka dengan penurunan dan pengekalan berat badan sebanyak 15 peratus.
“Penurunan berat badan ini dapat dilakukan melalui bantuan produk penggantian makanan, diet rendah kalori atau pembedahan bariatrik serta senaman yang berterusan,” katanya.
Katanya, penurunan berat badan juga memberi faedah kepada hati dengan mengatasi penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD), yang mana, jika dibiarkan, boleh menyebabkan parut pada hati dan kanser hati. – UTUSAN ONLINE