PETALING JAYA : Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Salleh Abas, 91, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.20 pagi tadi di Hospital Sultanah Raja Nurzahirah, Kuala Terengganu, Terengganu.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh anak-anaknya dalam aplikasi WhatsApp.
“Dengan amat dukacita, ayahanda kami, Tun Mohd. Salleh Abas telah kembali ke rahmatullah pada pukul 3:20 pagi Sabtu 16 Januari 2021.
May Allah forgive him and place him amongst the righteous. May Allah reward him with Jannatul Firdaus,” kata mereka.
Terdahulu, Allahyarham Mohd. Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Bhd. disahkan positif Covid-19.
Allahyarham berasal dari Kampung Raja, Besut merupakan Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988.
Beliau juga terkenal sebagai Ketua Hakim Negara yang dipecat semasa krisis Perlembagaan pada tahun 1988, sekali gus mengakibatkan kehilangan pencennya.
Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih daripada Pas apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999.-UTUSAN ONLINE