TPNW memperkukuhkan usaha pencegahan senjata nuklear -

TPNW memperkukuhkan usaha pencegahan senjata nuklear

WISMA Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear  (TPNW) yang bermula hari ini merupakan langkah terbaik untuk memperkukuhkan usaha pencegahan senjata berbahaya itu

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, Triti merupakan surat cara antarabangsa pertama yang  sah mengharamkan senjata nuklear secara komprehensif dan berkuat kuasa selepas  memperoleh pengratifikasian ke-50 pada 24 Oktober tahun lalu.

Katanya, Triti yang dimeterai di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Julai 2017 melarang segala aktiviti berkaitan dengan senjata nuklear. 

Larangan itu jelas kementerian berkenaan,  termasuklah  pembangunan, pengujian, pembuatan, perolehan, pemilikan, penyimpanan, penempatan, dan  penggunaan. 

“TPNW turut akan mengukuhkan lagi norma bahawa senjata nuklear tidak boleh  diterima sama sekali, tidak boleh digunakan, tidak boleh diancam untuk digunakan dan perlu  disingkirkan dan dihapuskan dengan kadar segera,” katanya hari ini.

Kementerian Luar turut memberitahu,  Malaysia memainkan peranan utama dalam proses yang membawa kepada pemeteraian  TPNW oleh Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2017. 

Malaysia menandatangani TPNW  itu sebaik sahaja ia dibuka untuk tandatangan pada 20 September 2017 dan meratifikasi Triti  dua tahun kemudian pada 30 September 2020, menjadikan Malaysia sebagai Negara Pihak ke-46 kepada Triti tersebut.

“Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada semua negara pihak kepada TPNW dan  menggalakkan negara-negara lain untuk mempercepat proses penerimaan mereka terhadap  Triti berkenaan.

“Malaysia percaya bahawa TPNW adalah satu surat cara antarabangsa yang mengikat secara  sah, boleh dilaksanakan, dan mewujudkan norma undang-undang bahawa senjata nuklear  secara mutlaknya tidak boleh diterima,” katanya.

Dengan penguatkuasaan TPNW, jelas Kementerian itu, ia mewujudkan norma global  pencegahan senjata nuklear akan dapat diperkukuhkan. 

Malaysia turut berharap bahawa TPNW  akan mengubah wacana mengenai pelucutan senjata nuklear daripada perbincangan yang  dikuasai oleh negara-negara kuasa nuklear dan negara-negara bersenjata nuklear kepada  perbincangan yang lebih demokratik dan saksama yang mana semua negara mempunyai suara  yang sama penting. 

Tambah Kementerian, Malaysia komited untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan dalam melaksanakan  kewajipannya terhadap TPNW dan akan bekerjasama erat dengan negara-negara lain bagi  memastikan momentum global kekal kuat terhadap pelucutan senjata nuklear. 

“Malaysia juga  akan terus melibatkan diri dengan masyarakat madani dalam mempromosi kesedaran,  pendidikan dan wacana mengenai pelucutan senjata nuklear, khususnya berkenaan TPNW. 

“Malaysia menegaskan sekali lagi komitmen tidak berbelah bahagi negara terhadap pelucutan  senjata nuklear dan akan terus bekerjasama secara erat dengan rakan-rakan yang lain untuk  merealisasikan matlamat dunia bebas dari ancaman senjata nuklear,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN