RM1.44j barang tiruan dilupus - Utusan Malaysia

RM1.44j barang tiruan dilupus

SAIFULLIZAN Kamarul Zaman (tengah) menggunting kasut tiruan dalam operasi melupuskan barang rampasan di Stor Eksibit KPDNHEP Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ribuan pasang kasut dan cakera padat (CD) cetak rompak bernilai RM1.44 juta melibatkan 17 kes sitaan dilupuskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak di Stor Eksibit Perak di sini hari ini.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, pelupusan itu membabitkan 23,195 pasang kasut pelbagai jenama tiruan dan CD cetak rompak.

Katanya, kesemua barangan yang dilupuskan itu merupakan rampasan ke atas kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Barang yang dilupuskan ini membabitkan rampasan pada tahun 2019 dan 2020 iaitu 23,195 pasang kasut pelbagai jenama tiruan bernilai RM1.29 juta serta CD, cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak selain barang kawalan. 

“Kita telah menerima arahan pelupusan barang tersebut yang dirampas melibatkan pelbagai akta di bawah KPDNHEP,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Eksibit KPDNHEP Perak di sini. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 77,886 buah premis diperiksa sepanjang tahun lalu membabitkan 855 kes.

“Jumlah kes tersebut melibatkan nilai rampasan RM747,064.89 dengan nilai kompaun RM300,050,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, barangan keperluan di Perak dijamin mencukupi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh kerajaan. 

“Berdasarkan pemantauan, tiada sebarang pembelian panik melibatkan pengguna di Perak dan kita juga tidak menerima aduan melibatkan kenaikan harga barang bermula awal Januari sehingga semalam.  

“Pihak pengilang, pemborong dan peruncit juga memberi jaminan keberadaan bekalan barang kawalan dan keperluan asas di negeri ini mencukupi dan mudah diperoleh,” katanya. 

Menurutnya, pihaknya berharap pengguna tidak membuat pembelian panik sebaliknya merancang pembelian dengan membeli barangan yang perlu sahaja. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya