Tipu dokumen, MAQIS Selangor rampas 40 pokok limau dari China - Utusan Malaysia

Tipu dokumen, MAQIS Selangor rampas 40 pokok limau dari China

POKOK limau yang cuba diseludup oleh sebuah syarikat dirampas bersama pokok kering di Pelabuhan Klang Barat, Selangor Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Tindakan sebuah syarikat tempatan membuat pengisytiharan palsu membawa masuk pokok limau dari China gagal apabila barangan itu dirampas di Pelabuhan Klang Barat di sini Sabtu lalu.

Dalam pemeriksaan kira-kira pukul 11.30 pagi itu, sebanyak 40 pokok limau dianggarkan bernilai RM680.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dan menemukan pokok limau yang disembunyikan bersama pokok bunga kering dalam satu kontena.

Menurutnya, siasatan mendapati, syarikat itu telah membuat pengisytiharan palsu membawa pokok kering sebagai permit yang sah bagi mengelirukan pegawai yang bertugas.

“Pokok ini didapati tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan MAQIS selain sijil fitosanitasi dari negara asal.

“Hasil siasatan mendapati tujuan pokok limau dibawa masuk ke Malaysia adalah untuk pemberian hadiah sempena Tahun Baharu Cina,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, pokok limau tersebut dijual pada harga RM150 hingga RM450 mengikut ketinggiannya antara dua dan tiga meter.

Tambah Tarmisal, kesemua pokok limau itu akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Jelasnya, rampasan keluaran pertanian adalah bagi mengekang kemasukan serangga perosak kerana sekiranya terlepas boleh menyebabkan industri pertanian negara terjejas.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Sekyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

 “Pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya