REMBAU: Tindakan pantas seorang anak berjaya menyelamatkan rumah ibunya yang berusia lebih 40 tahun daripada musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Legung Ulu, dekat sini, pagi tadi.
Mangsa kebakaran, Badiah Derauh, 80, berkata, dia hanya menyedari sebuah bilik di rumah itu terbakar setelah mendengar jeritan anaknya, Anuar Sadat Mohd., 50, yang pulang ke rumah.
Katanya, ketika kejadian iaitu sekitar pukul 9.30 pagi, dia sedang mengaji al-Quran selepas menunaikan solat duha.
“Semasa mengaji saya ada dengar bunyi benda jatuh tapi saya ingatkan anak sedang mengemas di kawasan luar rumah.
“Tidak lama kemudian saya terdengar anak menjerit. Saya keluar bilik dan melihat asap sudah berkepul-kepul,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Legung Ulu, dekat sini, pagi tadi.
Badiah berkata, anaknya itu segera mengambil air dan memadamkan kebakaran sementara dia pula meminta pertolongan penduduk untuk menghubungi bomba.
“Dalam kejadian ini, bilik anak saya terbakar. Mujur api cepat padam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Fuad Majid berkata, pasukannya ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 10.14 pagi.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi, api sudah padam namun masih terdapat asap di bilik yang terbakar.
“Kami mengawal kebakaran pada pukul 10.41 pagi dan dianggarkan kebakaran membabitkan rumah kekal berkenaan adalah sebanyak 10 peratus.
“Kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE