Tiga premis disyaki curi elektrik diserbu - Utusan Malaysia

Tiga premis disyaki curi elektrik diserbu

BARANGAN yang dirampas daripada serbuan di tiga premis yang disyaki menjalankan kegiatan curi elektrik di Seri Iskandar, Parit semalam. - GAMBAR IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Tiga premis yang disyaki menjalankan kegiatan curi elektrik melalui sambungan haram di sekitar Seri Iskandar di sini diserbu dalam operasi semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Menurutnya, premis berkenaan disyaki menjalankan kegiatan curi elektrik melalui sambungan elektrik secara tidak sah dan berselindung di sebalik kegiatan perlombongan mata wang krypto Bitcoin.

“Operasi serbuan selama empat jam itu berjaya menahan tujuh orang penjaga premis berusia lingkungan 20-an yang disyaki bertanggungjawab dalam pengoperasian kegiatan itu.

“Serbuan juga berjaya merampas beberapa barangan antaranya sebuah kereta Perodua Alza, 154 unit mesin server Bitcoin bersama sumber kuasa, 23 unit papan pemuka Bitcoin dan sejumlah gulung wayar elektrik jenis tembaga.

“Polis turut merampas lapan unit modem TP-Link dua set lengkap komputer, tiga telefon bimbit, lima kotak Suis Pengagihan Kuasa Elektrik Utama (DB) dan baldi aluminium berisi pelbagai jenis kunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Barudin berkata, siasatan awal bersama TNB yang hadir bersama ketika serbuan mendapati ketiga-tiga premis yang diserbu menunjukkan kuantiti penggunaan elektrik yang terlalu tinggi dan menjurus kepada kegiatan mencurigakan yang tidak sepadan dengan kadar penggunaan suatu premis perniagaan.

Katanya, siasatan turut mendapati terdapat rungutan dan kebimbangan orang ramai terutama peniaga-peniaga di bangunan premis akan bunyi kuat yang mengganggu operasi kedai dan ketenteraman pengguna lain dipercayai kesan aktiviti perlombongan mata wang krypto bitcoin berkenaan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan dan mengenal asti rangkaian sindiket ini dalam usaha membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab itu” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri yang boleh dihukum penjara maksimum tahun atau dengan denda jika sabit kesalahan.

Katanya, siasatan juga dilakukan untuk kesalahan melakukan khianat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. 

“Kesemua tangkapan kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya