SUNGAI PETANI: Tiga nelayan berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin dan kebocoran ketika sedang menangkap ikan di kawasan kira-kira 31 batu nautika barat Pulau Sayak dekat sini semalam.
Awang Mat Shah, 63, bersama dua kru, Sazali Seman dan Nik Man Mahat masing-masing berusia 53 tahun terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Pengarah Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima aduan berhubung kejadian kira-kira pukul 5.45 petang seterusnya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat dengan mengatur gerak bot Perkasa 24 ke lokasi kejadian.
Katanya, usaha menyelamat mengambil masa hampir dua jam berikutan cuaca buruk.
“Semua mangsa dapat diselamatkan pada pukul 7.50 malam tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, semua mangsa dilaporkan keluar menangkap ikan pada petang Ahad lalu dengan menaiki sebuah bot nelayan tempatan kelas A sebelum bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin dan kebocoran pada petang kelmarin.
“Semua mangsa dibawa ke jeti awam Tanjung Dawai dan diserahkan kepada keluarga masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE
–