Tidak sedap hati gagal hubungi suami - Utusan Malaysia

Tidak sedap hati gagal hubungi suami

KETUA Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz (dua dari kanan) bertemu keluarga mangsa yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11, Chemor di Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Isteri kepada lelaki yang dikhuatiri lemas terjatuh ke dalam longkang setelah motosikalnya terbabas di Lebuh Persiaran Klebang 11, Chemor di sini semalam, mengakui berasa tidak sedap hati selepas panggilan telefon kepada suaminya tidak dijawab.

Khadijah Din, 59, berkata, hatinya semakin bimbang apabila suaminya, Ahmad Amin Ismail yang bekerja di sebuah kilang simen di Tasek tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang.

Katanya, dia menghubungi suaminya kerana ingin bertanya mahu makan apa untuk makan malam namun tidak dijawab.

“Dia ada pesan kalau panggilan tidak dijawab, telefon diletakkan di dalam loker simpanan barang.

“Sehingga Maghrib dia tidak pulang sedangkan kerja lebih masa pun dia balik pada pukul 7 petang.

“Sementara menunggu suami, saya masak cucur dan sediakan air panas untuk dia mandi tapi sehingga ke waktu Isyak masih tidak muncul menyebabkan saya tidak sedap hati,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Menurut Khadijah, dia hanya mengetahui kejadian menimpa suaminya itu setelah dimaklumkan anggota polis yang ke rumahnya pada pukul 9 malam semalam.

Katanya, anggota polis terbabit memberitahu Ahmad Amin terlibat kemalangan namun belum dijumpai walaupun pencarian dilakukan termasuk di hospital.

“Harap suami dijumpai segera. Hari ini (semalam) masuk pencarian hari kedua dan harapan saya agar usaha dilakukan semua pihak berjaya menemukannya,” katanya.

Sementara itu, anak Ahmad Amin, Nur Khairunnisa, 29, berkata, kali terakhir dia bertemu bapanya sebelum lelaki itu keluar bekerja pada pukul 5 pagi semalam.

“Sebelum ke tempat kerja, ayah sempat menyapa saya dan itu kali terakhir kami berjumpa.

“Saya memang rasa tidak sedap hati sejak dua tiga hari ini dan terkejut dengan kejadian menimpa ayah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang kelmarin ketika hujan lebat, Ahmad Amin dikatakan terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan setelah motosikal Yamaha Ego S yang ditunggangnya terbabas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya