KANGAR : Pemotongan gaji atau elaun ahli Dewan Rakyat termasuk menteri-menteri tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk diputuskan sebaliknya langkah tersebut boleh dilakukan mengikut kesedaran sendiri atau secara sukarela bagi membantu rakyat.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau mencadangkan perkara tersebut sebelum ini dengan gaji wakil-wakil rakyat atau elaun mereka dipotong antara 10 sehingga 20 peratus.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) itu berkata, beliau sendiri melakukan perkara sama dengan memotong elaun dan wang tersebut digunakan membantu penduduk di kawasan-kawasan sekitar negeri ini.
“Tidak perlu tunggu bawa usul-usul ini ke Dewan Rakyat (pemotongan gaji), sebaliknya kita sudah boleh mula dari sekarang memotong gaji dan elaun untuk membantu rakyat.
“Perkara tersebut boleh dilakukan secara sukarela atau kesedaran sendiri. Malah kita faham ada juga yang tidak mahu memotong gaji kerana tidak cukup untuk belanja di kawasan-kawasan mereka.
“Semua ini terpulang kepada ahli-ahli Parlimen ini sama ada mahu memotong gaji atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran bantuan banjir UMNO Malaysia dan negeri di Pusat Khidmat Kubang Gajah, di sini hari ini.
Pasukan tersebut digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir seperti di Pahang, Kelantan dan Johor bagi melaksanakan kerja-kerja pasca banjir.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, pemotongan emolumen iaitu gaji atau elaun ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara tidak boleh dilaksanakan ketika fasa proklamasi darurat kerana melanggar undang-undang pentadbiran Parlimen.
Perkara itu ditegaskan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim yang berkata, sebarang pemotongan emolumen ahli haruslah diusulkan di Dewan masing-masing dan kemudian dilulus atau ditolak kerana berkait dengan pindaan akta.
Rais dilaporkan berkata, desakan sesetengah pihak supaya gaji serta elaun ahli Parlimen dan senator dipotong kerana tidak bersidang disifatkan sebagai tidak relevan berikutan mereka tetap memberikan khidmat meskipun dalam tempoh darurat.
Sementara itu, mengulas tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak semua ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon perkenan Seri Paduka membatalkan proklamasi darurat, Shahidan berkata, langkah tersebut disifatkan sebagai terlalu tergesa-gesa dan tidak sepatutnya.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong sudah membuat keputusan mengisytiharkan darurat dan semua pihak perlu melihat dahulu perkembangan pelaksanaan itu dalam tempoh beberapa bulan ini sama ada bakal memberi kesan kepada rakyat atau sebaliknya.
“Tunggulah sebulan dua lagi, tengok bagaimana keadaan. Sekarang saya lihat keadaan baik, pasaran saham dan pelaburan juga bertambah baik sekali gus menunjukkan darurat yang dilaksanakan ini tidak memberi kesan.
“Kalau kita dapati darurat ini memberi kesan kepada kehidupan rakyat, kita akan memikirkan cara terbaik dalam mengatasinya. Sekarang kita tunggu dahulu, lihat bagaimana,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO. – UTUSAN ONLINE