PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menegaskan, kementeriannya akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.
Ini termasuk katanya, memastikan tindakan tegas diambil kepada pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.
“Saya ingin menzahirkan rasa hiba dan kesedihan yang amat mendalam atas kematian Allahyarham adik Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malik Jumaat lalu. Saya turut merasakan keperitan dan kedukaan yang dirasai ibu-ibu yang mempunyai anak sebayanya.
“Saya berkehendakkan agar kematian Allahyarham Adik Zubaidi disiasat segera dengan teliti, dan hukuman tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah agar perkara sebegini tidak berulang lagi.
“Di samping itu ia diharap menjadi pengajaran kepada para ibu bapa yang cuai dalam penjagaan anak, termasuklah yang melakukan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.
Dalam pada itu, Menurut Rina, Kementerian juga sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan agar kanak kanak bebas daripada segala perkara negatif melalui advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan.
Dalam hal ini, beliau menyeru agar rakyat Malaysia terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan.
Katanya, atas semangat ‘KitaJagaKita’, beliau berharap agar masyarakat turut menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan terus memupuk sikap ambil peduli kepada masalah kejiranan setempat agar dapat terus melaporkan sebarang kecurigaan yang berlaku di kawasan kediaman masing-masing kepada pihak berkuasa.
Pada masa sama, orang ramai diseru melaporkan terus sebarang kejadian sebegini ke Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam selain membuat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh negara atau Balai Polis yang berdekatan.
“Dalam hal ini, saya turut menasihatkan kepada pihak keluarga yang berhasrat mengambil atau telah mengambil kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya perlu membuat pemakluman kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sepertimana yang tertakluk dalam Akta Kanak-kanak 2001.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia memberi khidmat nasihat terhadap peraturan-peraturan dan prosedur yang sah yang perlu dipatuhi dalam urusan pengambilan anak angkat,” katanya. – UTUSAN