Tiada perarakan Thaipusam di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Tiada perarakan Thaipusam di Pulau Pinang

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEEORGETOWN: Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) tetap dengan pendirian tidak membenarkan perarakan sempena Thaipusam di negeri ini pada Khamis ini. 

Pengerusinya, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, keputusan itu mengambil kira keselamatan rakyat berikutan kes jangkitan Covid-19 ketika ini masih tinggi. 

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, pihaknya tidak berkompromi dalam isu kesihatan rakyat kerana kesan Covid-19 memang besar. 

Justeru, beliau mempersoalkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pergerakan pedati membawa Dewa Murugan dari kuil di  Batu Caves, Selayang menuju ke Jalan Tun H.S. Lee di Kuala Lumpur. 

Menurut beliau, keputusan itu menyebabkan pihak pengurusan beberapa kuil di seluruh negara termasuk Pulau Pinang memohon untuk mengadakan perarakan sama di negeri masing-masing. 

“Mengapa perlu ada keputusan dwi standard dalam perkara ini? 

“Bagi kami kebenaran itu adalah tidak bertanggungjawab dan mencetuskan masalah apabila pihak pengurusan kuil lain turut mahu mengadakan perarakan seperti dibenarkan MKN di Batu Caves,” katanya di sini hari ini. 

Sebelum ini, PHEB  membuat keputusan perarakan dua pedati membawa Dewa Murugan iaitu kemuncak kepada sambutan  Thaipusam di Pulau Pinang yang dijadual  pada 27 hingga 29 Januari  dibatalkan bagi mengekang penularan Covid-19. 

Bagaimanapun, semalam, pihak pengurusan Kuil Nattukottai Chettiar membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk mengadakan perarakan sama seperti dibenarkan MKN di Batu Caves. 

Berhubung permohonan itu, Ramasamy berkata, perkara tersebut akan dibincangkan di dalam mesyuarat Exco negeri esok.

Dalam pada itu, Ramasamy berkata, meskipun tiada perarakan pada perayaan Thaipusam tahun ini, namun ia boleh disambut dengan meriah termasuk dengan bersembahyang di rumah masing-masing. 

Ujarnya, apa yang perlu menjadi keutamaan semua pihak ketika ini adalah memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 dan sekiranya perkara itu dapat dilakukan, sambutan perayaan termasuk Thaipusam tahun hadapan dapat diadakan  lebih meriah. 

“Sebenarnya keputusan untuk tidak membenarkan perarakan sempena Thaipusam kali ini juga adalah sukar kerana kita kehilangan kira-kira RM500,000 hingga RM600,000 sumbangan penganut Hindu yang sebelum ini digunakan untuk kerja-kerja kebajikan dan pengurusan kuil. 

“Tetapi disebabkan  Covid-19 ini yang menentukan hidup dan mati rakyat, jadi kita tidak boleh berkompromi dalam soal ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN