SEREMBAN: Mahkamah Koroner di sini hari ini merumuskan tiada penglibatan mana-mana individu dalam kematian remaja perempuan Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin.
Koroner Maimoonah Aid ketika membacakan keputusan inkues itu juga memberitahu, kematian Nora Anne adalah akibat nahas (misadventure) apabila gadis itu keluar dari rumah Sora (resort penginapan) dan kemudian tersesat di kawasan ladang kelapa sawit.
“Dia mungkin meninggal dunia akibat ‘misadventure’, dia telah keluar sendiri dari rumah Sora kemudiannya sesat dalam ladang kelapa sawit.
“Bagi saya untuk membuat spekulasi dan menganggap tindakannya dan penglibatan pihak ketiga tanpa fakta dan bukti akan menjadi pelanggaran tugas saya. Dengan ini inkuiri ditutup,” katanya.
Prosiding inkues kes kematian remaja perempuan yang dijalankan sejak 24 Ogos hingga 10 Disember lalu itu membabitkan 47 saksi termasuk ibu bapa remaja berkenaan, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin.
Nora Anne, 15, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.
Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.
Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan dalam tempoh yang lama.