KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segera campur tangan dengan menetapkan garis panduan caj saringan kesihatan Covid-19 di hospital dan klinik swasta supaya kemudahan saringan swasta dapat digunakan sepenuhnya.
Ketika ini, ramai yang merungut caj bagi perkhidmatan Reverse Transcripte -PolymeraseChain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Test Kit (RTK) di hospital dan klinik swasta yang mahal sedangkan negara perlu menggembleng semua sumber untuk mengekang pandemik itu.
Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk N. Marimuthu berkata, ekoran pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos ini, keutamaan adalah untuk mempermudahkan tindakan kerajaan menguruskan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat.
Katanya, adalah tidak wajar seandainya tiada apa-apa tindakan diambil dalam tempoh terdekat oleh pengamal perubatan swasta untuk membantu rakyat yang mahu bersama-sama mengekang penularan wabak ini.
” Rakyat disuruh membantu mengekang penularan Covid-19 terutama dalam keadaan kes semakin tinggi. Tapi sekarang apabila berlaku keadaan seperti ini, siapa yang harus dipersalahkan?
” Jadi adalah lebih baik kerajaan campur tangan dalam isu caj yang terlampau tinggi ini.Jika harga pada kadar berkemampuan diberikan pada rakyat , ia membantu hospital kerajaan bagi menampung individu yang mahu membuat saringan dan dalam masa yang sama mengekang penularan Covid-19, ” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyifatkan hospital swasta yang mengenakan caj hampir RM1,000 untuk ujian Reverse Transcripte -PolymeraseChain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Test Kit (RTK).
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, persoalan timbul mengapa sehingga kini isu ini masih belum mendapat perhatian daripada kerajaan walaupun kes terus meningkat setiap hari.
“Apabila darurat peranan hospital kerajaan boleh diambil hospital swasta. Namun caj kedua-dua ujian terlampau tinggi. Mengapa ini berlaku dalam keadaan yang benar-benar memerlukan?
“ Sudah tiba masanya ada satu pasukan petugas khas dalam keadaan yang semakin mendesak,” ujarnya. – UTUSAN