Tender baja: Bekas penolong setiausaha kanan didakwa lagi - Utusan Malaysia

Tender baja: Bekas penolong setiausaha kanan didakwa lagi

SHAHRULZAMAN Jaafar (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berhubung tender pembekalan dan penghantaran baja, tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selepas lapan hari dihadapkan di Mahkamah Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah, seorang bekas ketua penolong setiausaha kanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berdepan dengan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini iaitu menerima suapan RM100,000 bagi tender pembekalan dan penghantaran baja, tahun lalu.

Tertuduh, Shahrulzaman Jaafar, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut kedua-dua pertuduhan,Shahrulzaman yang kini digantung kerja di jabatan lain didakwa menerima suapan keseluruhan RM100,000 daripada seorang lelaki berusia 46 tahun.

Suapan itu adalah sebagai upah membantu mendapatkan tender membekal dan menghantar baja bio dengan mikrob tempatan bermanfaat di bawah Skim Insentif Pengeluaran kepada syarikat KIIK Resources Sdn. Bhd. yang keseluruhannya berjumlah RM37.47juta.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan berhampiran Hospital Serdang dan berhadapan sebuah pasar raya di Taman D’Alpinia, Puchong di antara pukul 11 pagi hingga 2 petang pada 12 Mei dan 21 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit bersalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin dan tertuduh yang diwakili peguam, Azizzul Shariman Mat Yusoff tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

Hakim Rihaida membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 27 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 12 Januari lalu, Shahrulzaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada beberapa syarikat, tahun lalu.

Untuk rekod, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini dikenali sebagai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya