Temui ajal ketika bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

Temui ajal ketika bantu mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Usaha murni seorang pemuda membantu mangsa banjir di Kampung Manjur, di sini berpindah ke pusat pemindahan berdekatan, bertukar tragedi apabila dia maut akibat lemas malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam, Mohammad Hakimin Rahim, 20, dikatakan pengsan secara tiba-tiba lalu terjatuh ke dalam sungai ketika membawa dua penduduk berpindah menggunakan sebuah perahu.

Mangsa hilang dibawa arus namun mayatnya berjaya ditemukan oleh penduduk pada pukul 8.30 pagi ini tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Difahamkan sebelum pemuda itu pengsan, dia mengalami kekejangan dipercayai akibat cuaca sejuk selain kepenatan kerana sibuk membantu mangsa banjir berpindah sejak pagi lagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada  pukul 10.07 malam.

“Berikutan itu, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan lima anggota bersama penduduk setempat di lokasi kejadian. 

“Operasi dihentikan pada pukul 12.30 malam sebelum disambung semula pagi ini. Namun kami dimaklumkan keluarganya mangsa sudah ditemukan pada pukul 8.30 pagi ini di tempat dia jatuh,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Sementara  itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Suzaimi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Yahya Petra Kuala Krai, untuk pemeriksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya