KULIM: Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila menemui seekor ular tedung selar di bilik tangki air sebuah sekolah menengah di Sungai Kob di sini semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd. Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang guru pada pukul 6.25 petang mengenai ular tersebut.
Menurut beliau, reptilia sepanjang lima meter dan seberat lapan kilogram didakwa pernah dilihat di sekitar kawasan sekolah itu beberapa kali, tetapi tidak berjaya ditangkap.
“Semalam, kelibat ular itu sekali lagi dikesan di kawasan tersebut oleh pengawal keselamatan berusia 30 tahun yang kebetulan membuat rondaan di bilik tangki air.
“Pengawal itu kemudian meminta seorang guru membuat panggilan kecemasan untuk bantuan menangkap ular, sambil dia mengawasi pergerakan ular tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, empat anggota APM bergegas ke tempat kejadian bagi memberi bantuan.
“Selepas berusaha kira-kira setengah jam, anggota berjaya menangkap ular tedung selar itu,” ujarnya.
Tambahnya, reptilia itu dibawa ke pejabat APM sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.- UTUSAN