Taktik tutup stesen minyak awal tidak menjadi - Utusan Malaysia

Taktik tutup stesen minyak awal tidak menjadi

SEBAHAGIAN tong digunakan menyeludup minyak petrol yang dirampas penguat kuasa di Kampung Kerilla Estate, Tanah Merah, Kelantan, semalam. - UTUSAN/BAHRUDDIN HATTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Sebuah stesen minyak dikesan menggunakan taktik menutup operasinya setengah jam lebih awal sebelum bersubahat dalam aktiviti penyeludupan minyak petrol di Kampung Kerilla Estate, di sini, semalam.

Bagaimanapun, cubaan menyeludup sejumlah 195 liter petrol bernilai RM8,370 itu gagal mengaburi mata pihak berkuasa yang bertindak menyerbu stesen minyak berkenaan kira-kira pukul 8 malam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, dalam serbuan itu, pasukannya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan merampas dua kenderaan yang digunakan bagi mengangkut petrol.

“Hasil risikan awal mendapati stesen minyak yang sepatutnya beroperasi sehingga pukul 8 malam ditutup lebih awal setengah jam.

“Selepas operasi stesen minyak ditutup, dua kenderaan masing-masing sebuah Pajero dan van mencurigakan dilihat masuk ke kawasan itu sebelum dua lelaki keluar dan mengisi minyak ke dalam tong plastik.

“Sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka cuba melarikan diri. Seorang suspek ditahan manakala seorang lagi meloloskan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Azizi, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemukan sejumlah 80 tong kosong dipercayai mahu digunakan untuk mengisi petrol.

“Penglibatan pemilik stesen minyak dalam aktiviti penyeludupan itu disiasat mengikut Peraturan 12A Kawalan Bekalan 1974. Jika disabitkan kesalahan denda RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya merampas sejumlah 2.1 tan metrik gula pasir bernilai lebih RM6,000 hasil pemeriksaan sebuah premis perniagaan runcit di Kampung Gemang di Jeli, pada pukul 1.30 petang kelmarin.

“Pemilik premis gagal mengemukakan dokumen jualan dan menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Untuk makluman, sepanjang Januari 2021, KPDNHEP Tanah Merah menangani tujuh kes membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM19,469.83. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya