Tahun Baharu Cina: Pokok limau hiasan tetap ada permintaan - Utusan Malaysia

Tahun Baharu Cina: Pokok limau hiasan tetap ada permintaan

PEKERJA Seremban Landscape & Nursery, Siti Nur Maizura Ismail menghias pokok buah limau jenis Tangerine yang ditempah pelanggan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, bulan depan. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun sambutan Tahun Baharu Cina kali ini dibayangi penularan pandemik Covid-19 selain ketidaktentuan pergerakan dalam kalangan penduduk, permintaan terhadap pokok limau hiasan tetap tinggi dalam kalangan masyarakat Cina.

Pengurus Seremban Landscape & Nursery, Nixon Lau Tian Soon berkata, pihaknya mendapat lebih 1,000 permintaan untuk pokok limau tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada pelanggan tetapnya.

“Tahun ini kami menyediakan kira-kira 1,000 pokok limau kasturi bersaiz kecil dan kira-kira 200 bersaiz sederhana.

“Jika tidak kerana Covid-19, semestinya lebih banyak pokok limau hiasan kami sediakan. Tahun lepas sahaja hampir 4,000 pokok ini ditempah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premis perniagaannya di Batu 6, Jalan Kuala Pilah di sini.

Tian Soon bagaimanapun mengakui, keadaan semasa Covid-19 banyak mempe­ngaruhi permintaan terhadap pokok limau hiasan selain suasana sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini yang dilihat kurang meriah.

“Tahun-tahun sebelum ini pokok limau ini dibeli pelanggan sebagai reputasi mereka, mahu membuat sesuatu yang berbeza dalam hiasan rumah dan premis perniagaan masing-masing termasuk dari segi kua­liti hiasan.

“Kali ini dengan keadaan ekonomi tidak menentu, tentu sekali perayaan tidak meriah seperti biasa malah kami tidak membawa masuk banyak pokok limau hiasan dari luar negara atas faktor mengurangkan kos pengangkutan,” katanya.

Sementara itu, jelasnya, setiap pokok limau hiasan tersebut dijual antara harga RM80 sehingga RM1,400 berdasarkan saiz dan usianya.

“Kebanyakan pokok limau hiasan di sini adalah jenis limau kasturi yang diperoleh daripada peladang di Tapah, Perak.

“Pokok limau hiasan yang lebih mahal tentunya yang kami import dari China iaitu jenis Tangerine. Pokok dan buahnya lebih besar dan harganya boleh mencecah sehingga RM1,400 bagi satu pokok,” katanya.

Tambahnya, tahun ini dia hanya membawa masuk kira-kira 10 batang pokok limau hiasan import berbanding 40 pokok pada tahun-tahun sebelum ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN