KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di empat Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan termasuk mencederakan pembantu rumahnya dengan air panas, tahun lalu.
Di hadapan Hakim Suzana Hussin, tertuduh, Lin Siew Lan, 41, didakwa memperdagangkan mangsa berusia 26 tahun bagi tujuan eksploitasi dengan kekerasan dan dituduh mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun atau maksimum 20 tahun dan denda.
Turut didakwa di hadapan hakim sama ialah suaminya yang peniaga besi buruk, Lim Tuan Ann, 42, atas pertuduhan memperdagangkan mangsa bagi tujuan eksploitasi dan didakwa mengikut Seksyen 12 ATIPSOM 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun dan boleh didenda.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan 24 November tahun lalu di kediaman mereka di Taman Batu dekat sini.
Sementara itu di tiga lagi Mahkamah Sesyen, Siew Lan didakwa atas empat pertuduhan menyebabkan kecederaan parah antaranya menggunakan air panas terhadap mangsa yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 1 Ogos dan 13 November tahun lalu di kediamannya di Taman Batu di sini.
Bagi pertuduhan ini, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 325 dan 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 20 tahun dan denda.
Seksyen 326 turut memperuntukkan hukuman sebat namun disebabkan tertuduh merupakan seorang wanita, dia terlepas daripada hukuman ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli dan Mohamad Sharizzat Amadan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Sivaraj Retinasekharan.
Turut hadir pada prosiding itu ialah wakil daripada Kedutaan Indonesia.
Secara keseluruhan, Siew Lan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM48,000 dengan dua penjamin manakala suaminya, Tuan Ann dibebaskan dengan jaminan RM12,000; masing-masing dengan dua penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa mereka kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Februari ini.
Terdahulu ketika hadir ke mahkamah, pasangan yang ditemani beberapa individu dipercayai ahli keluarga mereka cuba mengaburi media dengan berpura-pura bersikap seperti orang awam.
Namun tembelang itu pecah apabila pegawai penyiasat, Asisten Superintenden (ASP) Baldev Singh Gurdial Singh dan Inspektor Mohd. Fahmi Zakaria mengiringi mereka masuk ke lobi mahkamah.
Pada 25 November tahun lalu, media melaporkan sepasang suami isteri ditahan selepas menerima laporan daripada orang awam mengenai penderaan seorang pembantu rumah.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dalam laporan itu dipetik berkata, ketika serbuan di sebuah rumah di Taman Batu Jinjang, mangsa ditemukan dengan kecederaan teruk di seluruh badan.
Pada serbuan itu, pihak polis turut merampas pisau, gunting, kerusi serta periuk yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa. – UTUSAN ONLINE