IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa simpati terhadap para petugas Kementerian Kesihatan di barisan hadapan bagi menangani wabak Covid-19 yang menular pada skala begitu besar.
Yang Dipertuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, berikutan itu baginda berpendirian amat penting untuk seluruh rakyat sama-sama membantu meringankan beban yang sedang digalas mereka ketika ini.
“Sultan Nazrin bertitah, antara cara untuk meringankan beban tugas mereka boleh dibuktikan melalui amalan jarak fizikal, meminimumkan bilangan kehadiran dalam sesuatu acara, tidak menganjurkan atau menghindarkan acara-acara berbentuk perhimpunan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Annuar berkata, Sultan Perak juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan yang sedang menggalas beban tugas yang begitu berat.
Kata beliau, Sultan Perak turut menzahirkan penghargaan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berserta Rela dan pelbagai agensi lain yang saling bekerjasama untuk memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.
“Baginda menyeru rakyat menunjukkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dengan mematuhi sepenuhnya PKP,” katanya.
Mohd. Annuar berkata, Sutlan Perak menzahirkan titah nasihat agar semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat hajat setiap hari memohon ihsan dan rahmat daripada Allah agar bencana kesihatan yang sedang melanda dunia ketika ini berjaya dibendung dan kehidupan insan dapat kembali normal. -UTUSAN ONLINE