BALING: Seorang subkontraktor bersama tiga pekerjanya ditahan selepas didapati terlibat dalam kegiatan mencuri kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar daerah ini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, lelaki terbabit iaitu tiga warga tempatan dan seorang warga negara Myanmar berusia antara 21 hingga 59 tahun ditahan di Kampung Charuk Nau, di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat serbuan di sebuah bangsal di sebuah kawasan perumahan awam di kampung itu dan menahan dua lelaki tempatan dan seorang warga negara Myanmar.
“Hasil siasat lanjut, polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan subkontraktor dan mempunyai lesen menjalankan pengendalian kabel elektrik di sebuah rumah di Charuk Nau pada pukul 3 petang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, di sini hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas 111 batang wayar kabel elektrik yang telah dipotong, gulungan-gulungan tembaga, mesin pemotong, pisau pemotong, pemutar skru, besi pencungkil tayar motosikal, batang penukul besi, parang dan wayar plak soket serta sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso.
Tambahnya, kabel elektrik yang dirampas itu bernilai antara RM20,000 hingga RM30,000.
“Hasil semakan rekod jenayah terhadap suspek-suspek terbabit mendapati salah seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah dadah dan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Katanya, kesemua lelaki itu ditahan reman lima hari bermula 22 Januari untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 431 akta yang sama. – ONLINE DONE