BALIK PULAU: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan pelbagai jenis dadah di daerah Barat Daya Selasa lalu selepas menjadikan hotel bajet di Bayan Lepas, di sini sebagai lokasi pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu.
Operasi bersiri yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) bermula pukul 11 pagi itu menahan sembilan suspek terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita tempatan.
Antara yang diberkas ialah pasangan suami isteri dan dua beradik lelaki.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, tangkapan pertama ke atas empat suspek termasuk pasangan suami isteri berusia 31 tahun dan 29 tahun dilakukan di sebuah bilik hotel bajet dan menjumpai bungkusan dadah disyaki heroin serta syabu.
Katanya, siasatan awal mendapati hotel berkenaan dijadikan lokasi pengedaran dadah kepada pelanggan di sekitar daerah ini sejak tiga bulan lalu.
“Mereka menyewa bilik hotel dalam tempoh yang lama bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Pelanggan ke situ untuk urusan pembelian dadah pada harga RM100 bagi sepeket kecil syabu.
“Susulan penahanan suspek terbabit membawa kepada tangkapan tiga lagi rakan mereka iaitu seorang pemuda dan dua gadis di sebuah bilik berlainan hotel yang sama. Di situ, kita merampas bungkusan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 50.12 gram,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Balik Pulau, di sini hari ini.
Anbalagan memberitahu, hasil soal siasat ke atas ke semua suspek terbabit membawa polis ke sebuah pondok di Jalan Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini pukul 6.30 petang.
“Di situ, kita menahan dua lelaki berusia 39 tahun dan 27 tahun dan merampas bungkusan syabu serta pil Eramin 5 dengan anggaran jumlah RM31,725.
“Suspek mempunyai kaitan dengan dua serbuan di hotel bajet terbabit dan hasil ketiga-tiga serbuan tersebut, kita merampas dadah dengan nilai keseluruhannya adalah RM44,472.85.” katanya,.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati lapan suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dengan maksimum 17 kes seorang. – UTUSAN ONLINE