GEORGETOWN: Gara-gara menyembunyikan, 5,180 kilogram tepung gandum di premisnya di kawasan Perindustrian Bayan Lepas di sini, seorang pemborong menanggung rugi selepas barang kawalan tersebut disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Daerah Timur Laut semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, sepasukan pegawai penguat kuasa PPDNHEP Cawangan Timur Laut menjalankan pemeriksaan terhadap premis berkenaan kerana disyaki menyimpan barangan kawalan melebihi had dibenarkan.
Ketua Penguat Kuasa Daerah PPDNHEP Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, semasa pemeriksaan, tepung gandum di premis berkenaan sebanyak 12 tan sedangkan pemborong hanya boleh menyimpan tujuh tan dalam satu-satu masa..
“Siasatan lanjut mendapati kesemua tepung gandum yang disimpan adalah untuk dijual ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, pemborong memberi alasan tepung gandum berkenaan mendapat permintaan tinggi di pasaran sewaktu musim perayaan itu.
“Sehubungan itu, kita menyita tepung gandum jenama Kompang sebanyak 2,930 kilogram dan tepung gandum cap Kereta Kebal sebanyak 2, 250 kilogram yang keseluruhannya sebanyak 5,180 kilogram.
“Semua tepung gandum yang disita adalah berkapasiti satu kilogram setiap bungkusan dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM9,339,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu manakala syarikat perbadanan pula boleh dikenakan denda tidak lebih RM2 juta.
“Kita memandang serius terhadap pelanggaran yang dilakukan oleh pemegang-pemegang lesen terutamanya lesen barangan kawalan kerana merugikan kerajaan dan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Ahrazzuddin berkata, pihaknya menyeru peniaga yang memegang lesen yang dikeluarkan supaya mematuhi semua arahan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas. – UTUSAN